Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah
KAMPUNG SUNGAI AKAR, Ahad, 21 Jun. - Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar menganjurkan Program Masjidku Ceria sempena Sambutan Awal Tahun Baharu 1448 Hijrah sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah.
Hadir bagi sama-sama menyerikan lagi program tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Turut hadir, Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penaung Bersama Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Penghulu Mukim Berakas, ketua-ketua kampung di kawasan berkenaan, jemaah serta penduduk Kampung Sungai Akar dan sekitarnya.
Program ini bertujuan untuk menyemarakkan pengimarahan masjid, memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat.
Inisiatif seumpama ini selaras dengan usaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan rohani, sosial dan kemasyarakatan.
Program berkenaan dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah, diikuti dengan Kuliah Khas yang disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin yang menyentuh mengenai penghayatan hijrah sebagai pemangkin perubahan diri, keluarga dan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih cemerlang dan diberkati.
Majlis diteruskan dengan acara berjalan kaki sejauh 1.66km di kawasan Kampung Sungai Akar dan diakhiri dengan acara sukan bebas seperti bola sepak, badminton dan bola jaring.
Selain mengukuhkan kefahaman agama, program ini turut menyediakan aktiviti riadah dan sukan santai bagi menggalakkan amalan hidup sihat serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama jemaah dan penduduk setempat.
Aktiviti komuniti yang berpusat di masjid ini terbukti mampu memperkukuhkan semangat kebersamaan dan penyertaan masyarakat dalam program kemasyarakatan.